Sunday 24 June 2012

Jus soli

 
Jus soli
Jus soli berasal dari bahasa Latin yang memberi maksud “hak untuk kawasan” atau kewarganegaraan hak lahir bermaksud hak kerakyatan sama rata iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan. Menjelangnya abad kesembilan belas, negara telah terbahagi kepada mereka yang mempunyai kerakyatan terhadap tanahnya mengikut jus soli seperti di Perancis dan memiliki tanahnya mengikut jus sanguinis hak darah seperti di Jerman. Walau bagaimanapun, kebanyakan negara Eropah menerima konsep Jerman sebagai “kenegaraan objektif”, berdasarkan darah, bangsa atau bahasa seperti takrifan klasik Fichte bagi sebuah negara, membuatkan mereka bertentangan dengan ahli republik Ernest Renan yang mencadangkan “kenegaraan subjektif”, berdasarkan pungutan suara harian bagi perlengkapan tanah airnya. Konsep bagi kenegaraan yang tidak penting ini membolehkan pelaksanaan jus soli, menentang kepada jus sanguinis.
Walau bagaimanapun, dengan penambahan pelarian masa kini telah mengkaburkan beza antara keduanya.
Malaysia Kita 2004, Di Tanah Melayu pula jus soli telah diperkenalkan pada 1945 dibawah Malayan Union yang memberi kerakyatan kepada warga asing terutama kaum Cina dan India memasuki Tanah Melayu pada masa itu bagi menyelesaikan masalah kerakyatan yang dihadapi oleh mereka. Kemudian ia telah dilaksanakan pada 1946 yang telah menyebabkan kemasukan kaum asing terutama Cina dan India menghampiri 1 juta. Ini telah membuatkan rasa tidak senang hati kaum Melayu telah timbul kerana dikatakan telah mengancam kedudukan orang Melayu dan institusi Raja Melayu, akibat daripada perkara tersebut telah menyebabkan orang Melayu bangun menentang gagasan tersebut

Konsep Jus Soli
Malaysia Kita 2004 jus soli adalah berkonsepkan kepada kesamarataan di antara rakyat di dalam satu negara. Dimana ia adalah bagi menuntut kesamarataan di antara rakyat tempatan dan asing di Malaysia. Kesamarataan dari semua segi yang telah membuatkan keadaan kaum asal Tanah Melayu menjadi tidak senang dan membantah konsep tersebut. Ini disebabkan hak mereka semakin terhakis dan ketaatan kepada Raja Melayu tidak diendahkan serta tidak menghormati kaum asal Tanah Melayu. Bermula dengan pengistiharan Malayan Union pada 1945 di dalam kertas puteh yang telah persetujui oleh Kerajaan British di London dan telah melantik Harold McMichael sebagai Utusan Khas Kerajaan British untuk mendapatkan tandatangan Sultan-Sultan di Tanah Melayu. Jus soli telah dijalankan pada 1946 dan telah dibatalkan pada 1947 kerana dikatakan telah mendapat tentangan yang hebat dari kaum Melayu. Akibat dari prinsip yang longgar ini telah membawa masuk lebih 800,000 kaum imigran ke Tanah Melayu.

Prinsip Jus Soli
Mohd Fuad Sadkan 1999 menyatakan Prinsip jus soli adalah satu prinsip dimana ia berdasarkan undang-undang tempat lahir, sesiapa yang lahir di Malaysia antara hari Merdeka dan Oktober 1962,secara automatik mendapat taraf warganegara. Terdapat beberapa prinsip yang membolehkan seseorang itu menjadi warganegara. Bagi yang lahir selepas 1962 dia boleh menjadi warganegara sekiranya ibu dan bapanya adalah warganegara maka ia boleh menjadi sebahagian daripada tersebut. Selain itu juga, jika ibu bapa mereka masih lagi bermastautin di Tanah Melayu pada ketika itu maka secara automatik mereka juga menjadi warganegara. Dan satu lagi prinsip yang boleh menjadikan mereka seorang warganegara ialah jika dia masih lagi tidak mempunyai warganegara daripada negara lain. Dengan cara ini British berpendapat ia akan dapat menyelesaikan masalah tersebut, prinsip yang di utarakan telah mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu yang mengatakan bahawa hak mereka menjadi semakin tidak bermakna dan lama kelamaan ia akan terhakis dengan sendirinya. Ramlan Adam 2005 menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura dan telah bermastautin di situ sebelum perintah tersebut dikuatkuasakan. Sesiapa sahaja yang berumur sekurang-kurangnya 18 tahun yang telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura selama 10 tahun dari masa 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Mereka terpaksa mengangkat sumpah kewalakan kepada Malayan Union. Sesiapa sahaja yang dilahirkan di Tanah Melayu atau Singapura pada atau selepas perintah tersebut dikuatkuasakan. Sesiapa sahaja yang dilahirkan di luar Tanah Melayu atau Singapura pada atau selepas perintah tersebut dikuatkuasakan, apabila bapanya ialah warganegara.

Jus Soli di Malaysia
Azmah Abd. Manaf 2003 menyatakan bahawa jus Soli telah diperkenalkan oleh pihak British pada 1945 dibawah pembentukan Malayan Union, ia diperkenalkan adalah bagi menyeragamkan keadaan yang tidak konsisten yang berlaku di antara kaum di Tanah Melayu. Dan telah dijalankan pada 1946 dimana kaum Cina dan India tidak mahu dihantar pulang ke negara asal meraka. Oleh sebab itu, bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku maka pihak berkuasa pada masa itu telah memperkenalkannya. Di bawah penjajahan British, negeri- negeri Melayu telah dibuka kepada kaum imigran tanpa sekatan. Keadaan ini telah mengakibatkan jumlah pendatang asing meningkat secara mendadak dan melebihi bilangan penduduk orang Melayu. Kaum asing mengambil kesempatan daripada kelemahan orang Melayu untuk membolot kekayaan negeri ini.
Asnarulkhadi Abu Samah 1997 menyatakan sesungguhnya prinsip jus soli hangat dibincang sejak 1946 lagi apabila prinsip ini diperkenalkan dalam Perlembagaan Malayan Union. Raja-Raja Melayu dan orang Melayu menolak prinsip jus soli dalam pemberian kerakyatan kepada bangsa imigran. Justeru, prinsip jus soli digugurkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu (1948). Pendirian tegas Raja-Raja dan orang Melayu terhadap isu ini tidak berubah. Pada 1950 prinsip jus soli sekali lagi ditolak oleh orang Melayu apabila dicadangkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Antara Kaum. Jawatankuasa ini menawarkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi sebagai pertukarannya. Jus soli telah diperkenalkan sebagai salah satu daripada undang-undang yang termaktub di dalam Perlembagaan Malayan Union yang telah dicanang oleh British di dalam Parlimennya dengan tujuannya ialah untuk membalas dendam kepada orang Melayu yang menyokong pihak Jepun pada masa itu dan bagi memenuhi hasratnya di dalam memonopoli hasil bumi di Tanah Melayu bagi kepentingan negara mereka.

Penolakan Kaum MelayuTerhadap Jus Soli
Abd. Rahman Ismail 2005 menyatakan penentangan ke atas jus soli timbul apabila berlakunya ketidakpuasan hati orang Melayu kerana kesamarataan dan kelonggaran yang ada dalam prinsip jus soli. Prinsip jus soli yang membenarkan siapa sahaja masuk dan diberi kerakyatan yang sama, ini telah menjadikan kaum Melayu sama taraf dengan kaum asing. Antara sebab yang telah menyebabkan kaum Melayu menolaknya adalah:

-> Hak Istimewa
Prinsip jus soli akan menghapuskan hak-hak istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu sebagai Bumiputera Tanah Melayu kerana Perlembagaan Malayan Union memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Orang Melayu tidak mahu hak istimewa dinikmati oleh orang Cina dan India yang dianggap pendatang yang menumpang di Tanah Melayu. Penghapusan hak istimewa menyebabkan orang Melayu bimbang penguasaan ekonomi oleh orang Cina akan bertambah besar dan ini akan meluaskan jurang ekonomi antara orang Melayu dengan Cina. Perkara ini telah menyebabkan orang Melayu menolak prinsip yang akan mengakibatkan keadaan orang Melayu akan menjadi asing di negara sendiri. Hak yang orang Melayu ada telah diragut dengan rakus sekali oleh pihak British kerana perasaan dendam kepada orang Melayu yang telah menyokong Jepun, membuatkan pihak British terpaksa berundur. Apabila Jepun telah menyerah kalah British kembali semula mentadbir dan memasang dendam kepada orang Melayu. Maka dengan itu mereka telah meluluskan pembentukan Malayan Union yang mengandungi prinsip yang cukup mengguris hati orang Melayu iaitu prinsip jus soli. Walaupun jus soli merupakan sebahagian daripada yang termaktub dalam Perlembagaan Malayan Union. Tetapi prinsip yang ada di dalamnya itu telah memberi kesan yang amat sangat kepada umat Melayu. Orang Melayu merasakan mereka semakin terpinggir dari pelbagai aspek berbanding dengan kaum yang lain. Dengan kemasukkan yang melampau dan peraturan yang tidak ketat di dalam prinsip jus soli telah menyebabkan rasa tidak senang hati timbul. Pemilikan ekonomi kaum Melayu semakin jauh perbezaannya dengan kaum imigran. Kaum imigran telah menguasai sebahagian bandar-bandar besar pada masa itu dan kaum Melayu hanya tinggal di kampung dan menjalankan ekonomi secara sara diri sahaja. Akibat daripada kesedaran para pemimpin intelek Melayu yang dipelopori oleh Dato Onn Jaafar telah berjaya menaikkan semangat kaum Melayu dalam menentang prinsip tersebut. Walaupun pada asasnya penolakan itu adalah bersifat menyeluruh terhadap Malayan Union, oleh sebab prinsip jus soli itu berada di dalam Perlembagaan tersebut maka ia secara automatik ditolak keseluruhannya.

-> Hak Kerakyatan
Azmah Abd. Manaf 2003 menyatakan orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang longgar mengikut prinsip jus soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana mereka masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu dan kepada Raja-Raja Melayu. Pemberian taraf kerakyatan yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan India menjadi warganegara Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina yang sudahpun menguasai ekonomi akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi orang Melayu. Kebimbangan mereka bertambah kerana pada tahun 1947, jumlah Melayu hanya 49.46% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu. Dengan kelonggaran kerakyatan yang diberikan dalam prinsip jus soli telah menyebabkan kemasukkan imigran secara beramai-ramai menyebabkan keadaan orang Melayu mula rasa tergugat. Ini kerana hak kerakyatan yang diberikan itu adalah tidak bertepatan dengan kehendak orang Melayu yang membuatkan mereka telah menolaknya. Oleh kerana keadaan ini dikatakan menggugat kedudukan hak kerakyatan maka orang Melayu telah memboikot pengistiharan Malayan Union pada 1946 yang telah mendapat mandat Raja-Raja Melayu dan penggabungan persatuan di seluruh Tanah Melayu pada ketika itu. Walaupun pada mulanya ia telah dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu, tetapi dengan kebijakan yang dimiliki oleh Datuk Onn Jaafar telah berjaya memujuk Raja-Raja Melayu supaya memboikot pengishtiharan tersebut.

-> Kekuasaan Dan Kewibawaan Sultan
Penubuhan Malayan Union akan menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan. Walaupun kedudukan Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu sahaja. Malah kuasa Sultan dalam hal-ehwal agama Islam juga terjejas apabila British mencadangkan penubuhan Majlis Mesyuarat Agama yang dipengerusikan oleh Gabenor. Sultan-Sultan dianggap sebagai pelindung orang Melayu. Kemerosotan kuasa Sultan bererti kehilangan kuasa orang Melayu.

->Tidak Menghormati Hak Orang Melayu
Pemberian kewarganegaraan berdasarkan prinsip jus soli merupakan hak istimewa yang diberikan oleh orang Melayu kepada penduduk imigran ketika itu. Kaum Cina dan India menikmatinya serta merta, tidak seperti hak istimewa orang Melayu yang diabaikan pelaksanaannya oleh pemimpin Melayu itu sendiri pada tahun-tahun awal kemerdekaan sehingga terpaksa diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970. Warga Malaysia keturunan Cina dan India patut berterima kasih dengan orang Melayu kerana pemberian kewarganegaraan itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan. Malah membangkitkan status kewarganegaraan kepada orang Cina dan India sama seperti mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu/Bumiputera, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan agama Islam sebagai agama Persekutuan, adalah suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 mengikut perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai mengenang budi pemberian orang Melayu, mereka perlu akur dengan apa yang telah dipersetujui oleh nenek moyang mereka dengan para pemimpin Melayu sewaktu negara mencapai kemerdekaan. Mereka perlu menerima hakikat bahawa kedudukan hak istimewa orang Melayu adalah sesuatu yang sudah selesai dan tidak harus mempertikaikan lagi.
-> Balas Dendam
Orang Melayu juga menentang jus soli kerana mereka menyedari bahawa ini merupakan balas dendam British terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” mendakwa sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti Melayu kerana kecewa dengan tindakan orang Melayu bekerjasama dengan Jepun. Akibatnya, Perlembagaan Malayan Union amat merugikan orang Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan hak istimewa dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan. Dengan demikian orang Melayu telah menolaknya bulat-bulat kerana sedar ini akan menghancurkan orang Melayu pada masa akan datang dan juga akan menyebabkan Tanah Melayu tidak akan menjadi hak mutlak kepada orang Melayu walaupun ia pada asalnya hak mereka.

Kesimpulan
Jus soli merupakan isu yang menjadi tuntutan orang dagang terhadap kerakyatan di Tanah Melayu. Isu ini telah dibantah oleh orang Melayu. Isu tersebut ialah pemberian hak kerakyatan yang sama rata kepada semua kaum di Tanah Melayu. Perjuangan ini dianggap boleh melemahkan lagi kedudukan orang Melayu. Selepas perbincangan dan rundingan, raja- raja Melayu bersetuju menerima kerakyatan jus soli. Kerakyatan jus soli diterima dengan bersyarat, iaitu orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Seterusnya suruhanjaya ini juga menyetujui agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Tanah Melayu. Seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dan 153. Sebagai salah satu usul yang ada di dalam Malayan Union bagi menyeragamkan keadaan yang kurang pasti tentang kependudukan kaum lain di Tanah Melayu pihak British telah mengaplikasikannya untuk kepenting mereka. Ini juga satu motif pembalasan dendam daripada pihak British kepada orang Melayu diatas sokongan yang telah diberikan oleh orang Melayu kepada pihak Jepun pada 1945 semasa Jepun mula menduduki Tanah Melayu. Pemberian kerakyatan melalui jus soli juga adalah kerana memperingati jasa orang Cina yang telah bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Majoriti orang Cina menjadi anggota Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) dan bersama-sama British dalam usaha mengusir Jepun dari Tanah Melayu. Akibatnya, ini akan menguntungkan orang Cina yang berkaitan dengan kerakyatan serta dapat menjadi kuasa politik pada masa akan datang.

 


Wednesday 13 June 2012

Kemahiran mencari maklumat

Maklumat yang tepat menjamin ketepatan keputusan dan keberkesanan tindakan. Tanpa maklumat tertentu sesetengah keputusan tidak dapat dibuat atau sekiranya dibuat, boleh membawa akibat yang buruk dan mengaibkan.
Dalam dunia yang semakin berasaskan maklumat dan mengalami kebanjiran maklumat, kita harus bijak mencari jalan bagi mendapat maklumat yang tepat dan menggunakannya dengan berkesan.
Kemahiran mencari maklumat adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Tetapi kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada kedudukan ekonomi dan tempat di mana kita berada.

Ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui dan difahami untuk melengkapkan diri sebagai pencari maklumat yang mahir dan aktif.
Pertama sekali adalah mengetahui dorongan / sebab mencari maklumat, diikuti dengan memahami sikap manusia apabila berdepan dengan maklumat. Setiap orang mempunyai dorongan yang berbeza semasa mencari maklumat. Ada yang memerlukannya untuk tujuan ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain. Dorongan yang berbeza ini membentuk persepsi dan motivasi yang berbeza pula semasa berdepan dengan maklumat.
Manakala sikap atau psikologi manusia itu turut mempengaruhi kemahiran mereka dalam mencari maklumat. Terdapat berbagai teknik untuk menganalisa sikap manusia semasa berhubungan dengan dunia maklumat.
Salah satu teknik itu menunjukkan ada orang yang mencari maklumat sekadar di permukaan, ada yang mencari secara mendalam dan ada pula yang bersifat meneroka sejauh yang mungkin secara rawak.
Memahami keperluan maklumat diri dan cara diri kita mencari maklumat adalah satu bentuk pemahaman di peringkat meta yang membolehkan kita menguasai kemahiran maklumat pada tahap yang lebih baik.
Selain itu, kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada sejauh mana seseorang itu tahu tentang bentuk dan sumber maklumat.

Maklumat boleh wujud dalam bentuk artifak  , lukisan , imej, ensiklopedia , indeks, abstrak, buku tahunan, almanak, jurnal, buku, majalah, cakera padat, mikrofilem, mikrofiche, lisan, kaset, video dan banyak lagi.

ensiklopidea
artifak
lukisan

mikrofilem
almanak

Manakala sumber maklumat pula boleh jadi daripada manusia, bahan bercetak, bahan digital, bahan artifak, bahan filem, bahan seni, bahan bunyi dan lain-lain.
Kemahiran mencari maklumat bagi setiap bentuk dan sumber ini berbeza pula dan memerlukan teknik yang berbeza juga untuk mendapat hasil yang sepatutnya.
Contohnya untuk mencari bahan digital melalui enjin carian Google, sekiranya seseorang itu memahami konsep asas capaian kembali maklumat atau information retrieval dia akan dapat mencari bahan dengan lebih tepat berbanding orang yang tidak tahu. Begitu juga apabila ingin mencari bahan bercetak di perpustakaan, ada peraturan asas penyusunan buku di perpustakaan yang perlu difahami seperti nombor panggilan dan cara pengelasan bahan.
Termasuk dalam kemahiran mencari maklumat adalah kebolehan kita menduga di mana bahan yang kita kehendaki berada. Ini perlu dipelajari berdikit-dikit melalui pengalaman mencari maklumat yang terdahulu ataupun daripada pembacaan dan penerangan orang lain.
Ada bahan digital yang boleh didapati di Internet, tetapi ada juga bahan yang kita tahu wujud di dunia maya tetapi tidak boleh dicapai kecuali menggunakan kata laluan dan sebagainya. Kita perlu peka dan menyiasat kewujudan bahan itu di tempat kita, mungkin melalui institusi tertentu yang boleh membantu.
Ada juga bahan yang istimewa dan disimpan di tempat khusus dan memerlukan kebenaran khusus untuk menggunakannya seperti artifak atau bahan arkib.
Terakhir sekali adalah kebolehan kita untuk menilai maklumat yang telah berjaya kita cari, dan ini masih lagi merupakan rentetan daripada kemahiran kita mencari maklumat. Kemahiran menilai maklumat ini wajar dibicarakan dalam satu ruangan lain yang akan memberi kesempatan sebuah penerangan yang lebih sempurna.
Semua kemahiran mencari maklumat yang disebutkan di atas ada ditawarkan di pusat pengajian tinggi oleh pihak perpustakaan. Malah di peringkat antarabangsa, kemahiran ini dijadikan suatu subjek wajib bagi setiap fakulti dengan usaha sama antara pensyarah dan pustakawan.
Walaupun masih jarang kedengaran perpustakaan awam di negara ini mengambil daya usaha membuka kelas khas kemahiran mencari maklumat, tetapi ia patut dijadikan satu agenda penting sesebuah perpustakaan.
Melalui cara ini perpustakaan dapat bergerak seiring dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berdepan dan adakalanya terbeban dengan kebanjiran maklumat. Usaha untuk merentas jurang digital dan mengejar kemajuan teknologi negara maju pula harus menjadi agenda penting negara supaya rakyat sendiri tidak tercicir dalam menguasai maklumat, kerana maklumat adalah suatu bentuk kuasa.
Sumber: http://bukuria-malaysia.com/2008/06/kemahiran-mencari-maklumat/